minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG 166

Bila Kroni Jual Pegangannya
(MGG: A Crony Sells His Stakes)

Kerajaan Malaysia secara berahsia dan sambil menghadapi masalah kekurangan  dana  telah bertindak untuk menyelamatkan sebuah syarikat kepunyaan seorang kroni. Empayar  perniagaan  Tan Sri Tajuddin Ramli  memang banyak berhutang,  tidak diurus dengan baik dan tidak boleh bertahan lama. Kerajaan membeli sahamnya dalam MAS (Malaysian Airlines) pada kadar RM bernilai RM1.7 bilion, selepas selesai membantu seorang lagi kroni  yang bermasalah di Renong. Tetapi,  sikap  membantu Tajuddin Ramli ini mencetuskan banyak soalan daripada memberikan banyak jawapan. Bagaimanakah pembelian itu akan dilaksanakan?  Apakah pertolongan itu  mengambil kira MAS Capital yang mempunyai  pesawat udara semuanya dan bagaimana dengan aset yang lain? Kenapakah  parlimen tidak diberitahu akan perkara ini ? Pada 1992 Perdana Menteri pernah memberitahu semua orang, kalau Tan Sri Ramli tersilap langkah dia akan  jatuh muflis. Jadi, kenapakah dia diselamatkan?


Pada 1993, MAS telah dibeli oleh Malaysia Helicopter Service kepunyaan Tajuddin dengan cara pertukaran saham; satu saham MHS dengan dua saham MAS. Saham MHS telah dipacu  untuk naik melambung sehingga RM14 dan saham MAS ditekan  menurun sehingga RM7, untuk menjadikan pertukaran itu seimbang.  Kemudian, MHS bertukar nama menjadi 'Naluri'.  Pertukaran itu diikuti dengan merudumnya harga kedua-dua saham  itu di bursa KLSE.

Kini, kerajaan akan  mengambilalih beban hutang dan  mengswastakan  pengurusan  kepada kumpulan yang sama yang telah merudumkan MAS. Kenapakah kerajaan berbuat demikian sedangkan ada empat  syarikat penerbangan antarabangsa - KLM, Swissair, Qantas dan American Airline  yang berminat, tidak pula diperjelaskan.  Begitu jua dengan tindakan kerajaan membayar harga saham itu dua kali ganda kadar nilai semasa.

Tetapi Dato Seri Abdullah Badawi ada memecahkan tembelang, secara tidak disedarinya. Syarikat penerbangan asing mahu menguruskan MAS secara  yang professional.  Ini bererti ribuan orang Melayu akan kehilangan pekerjaan mereka.  Ini akan melanggar pra syarat kerajaan.  Dengan lain perkataan, MAS tumbang kerana  ketidakcekapan,  terlebih tenaga kerja,  pengurusan yang sengkek kerana  menanggung hutang  sehingga RM 9 bilion.

Yang menjadi lebih menakutkan sekarang ialah  terdapat banyak syarikat pengangkutan lain  yang kena senggugut kerana hutang yang membusut. Kini kerajaan  sedang  menyiapkan usaha mengambil alih tiga syarikat pengangkutan  bersama hutang  berjumlah RM6.2 bilion. Parkmay Bus Services  RM1.4 bilion, Intrakota Bus Services RM800  juta, STAR dan PUTRA sekitar RM4 bilion. Semua syarikat ini diuruskan sama ada oleh anak-anak ataupun kroni Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan. Satu  jawatankuasa khas sedang membuat kajian  untuk menyerap hutang yang membusut itu, mengswastakan syarikat yang  senggugut itu untuk diserahkan semula kepada pengurusan yang (seperti berlaku kepada MAS), menjadi punca  kerugian besar tersebut.

Jadi, kerajaan sedang dijerut sebanyak  RM15.2 bilion oleh sekurang-kurangnya lima syarikat tersebut. Kalau dicampurkan  pula  hutang Renong sejumlah RM26 bilion, dan  RM8 bilion  yang  lesap bahana  pembelian sebuah syarikat di Filipina oleh  pengerusi Renong itu, membawa erti enam syarikat sahaja sudah menanggung kerugian RM50 bilion.  Masih ada satu lagi  syarikat kroni yang boleh kita ambil secara rambang; MRCB dan New Straits Times Bhd yang berhutang sebanyak RM4 bilion. Tan Sri Vincent Tan  mempunyai tiga syarikat yang berhutang  sebanyak RM11 bilion (tidak diambil kira banyak lagi yang belum dicatatkan). Di pasaran saham BSKL terdapat ratusan syarikat  yang mempunyai hutang bertapuk melebihi RM1 bilion dan secara teknikalnya sudah pun muflis.

Kerajaan masih berlagak sakan seolah-olah negara masih mempunyai longgokan dana yang berlebihan.  Ia telah menafikan hak rakyat Terengganu  kepada wang royalti mereka. Segala dalil yang dikemukakannya kenapa Terengganu tidak layak kepada royalti itu memang tidak boleh dipakai. Kepercayaannya bahawa negara lebih mudah ditadbir dengan retorik  yang penuh keangkuhan telah menyebabkan negara ini tersembam ke jurang kemuflisan.

Apa yang berlaku kepada MAS dan juga kepada syarikat pengangkutan yang lainnya,  memang terdapat di dalam semua sektor industri negara. Sistem yang dirangka ialah menentukan sesiapa yang diberikan hak mengswastakan institusi kerajaan itu menyedut apa juga yang termampu daripada institusi itu dan membebankan  hutang yang ada ke dalam penyata  kewangannya.  Itu sebabnya lebuh raya yang berjaya menghisap tol yang tinggi  mencapai kejayaannya, tetapi tidak mencatatkan keuntungan kerana hutang yang menggunung tingginya. Kita akan terus menyaksikan banyak  proses pemulihan itu lagi. Di waktu yang sama kita boleh lihat betapa Tan Sri Tajuddin Ramli akan tersenyum lega seperti yang dinikmati oleh  Tan  Sri Halim Saad dan beberapa kerat insan  lagi.

-MGG Pillai-

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter